Sunday 9 September 2012

Makam Moyang Salleh

Mengikut catatan A. Caldecott (1912), Moyang Salleh ialah Penghulu Jelebu yang ketiga selepas To’ Gombak (dari Pagarruyong) dan To’ Mentunggang. Ketika Moyang Salleh menjadi penghulu, pada tahun 1757, terjadi peristiwa pembunuhan Siamat anak Penghulu Rembau atas perintah Sultan Johor. Kejadian ini berlaku kerana timbul salah faham ekoran keengganan Orang Kaya Kecil Rembau mengahwinkan anaknya Sri Banun dengan Baginda. Untuk mengelakkan peristiwa yang serupa tertimpa ke atasnya, maka Moyang Salleh diiringi empat hulubalang yang gagah berani iaitu To’ Beruang Hitam, To’ Laut Api, To’ Bauk, dan To’ Gagah Lela Perkasa telah pergi ke Johor bertujuan menyatakan bantahan terhadap hukuman yang dilaksanakan Sultan.


Ketika sampai di perkarangan istana, kerana tidak diendahkan oleh Sultan, Moyang Salleh mempamerkan kehandalannya dengan menggunakan jubahnya sebagai payung menahan hujan lebat yang turun tujuh hari tujuh malam daripada membasahi pondok mereka. Manakala, hulubalang yang mengiringi Moyang Salleh menunjukkan kesaktian mereka, antaranya dengan menyemburkan api yang marak dari mulut, menggoyangkan pohon kelapa dan menggegarkan Istana Sultan. Akur kepada kehebatan Penghulu dari Jelebu itu, Sultan menerimanya mengadap. Setelah melakukan perundingan, Sultan telah memperkenankan anugerah Dato’ Manduleka Menteri Akhir Zaman Sultan Jelebu kepada Moyang Salleh. Bahkan lebih daripada itu, Sultan memutuskan bahawa Jelebu tidak perlu lagi bernaung di bawah kekuasaan Baginda.
 
Persitiwa ini dikenali sebagai memutuskan tali ke Johor’. Kini, gelaran yang terpakai untuk Undang Jelebu ialah Dato’ Mendika Menteri Akhirulzaman, asal daripada gelaran yang diperoleh Dato’ Moyang Salleh. Makam Undang Jelebu yang terbilang ini terletak di perkuburan Kampung Bandar Tinggi, lebih kurang empat kilometer dari bandar Kuala Klawang. Ia mudah dicam kerana tumbuh sepohon kayu yang besar dan rendang di atas pusaranya. 50 meter menghala ke pusara berkenaan, terletak sebuah meriam lama kepunyaan Dato’ Undang Abdullah.

Gambar Makam  Moyang Salleh.




0 comments:

Post a Comment